Saturday, 4 April 2015

Bunga Borage: si bintang kecil yang mampu rendahkan kolestrol darah.

Semalam, sibuk saya mencari siapa antara kawan-kawan kebun yang ada menjual biji benih bunga Borage (bunga bintang). Alhamdulillah, seorang kawan kebun di Serdang ada bekalan benih ni.
Semakin banyak saya baca tentang bunga borage, semakin banyak khasiatnya yang saya temui. Antara yang menarik ialah ia mampu membantu mengurangkan stress, merendahkan tekanan darah tinggi dan mengawal kolestrol. Ini kerana minyak daripada biji Borage mengandungi GLA (Gamma Linolenic Acid), iaitu sejenis asid lemak Omega-6.

Dalam zaman yang moden ini, cara pemakanan kita membuatkan kolestrol tinggi dalam darah. Kehidupan yang sibuk pula menyebabkan kita cepat stress. Oleh itu, saya rasa bunga Borage dapat membantu kita untuk mengatasi masalah ini. Ye lah, kolestrol tinggi ni bahaya. Boleh menyempitkan saluran darah dan membawa kepada serangan jantung.

 
Apa-apa pun khasiatnya, bunga Borage ni memang dah mencuri hati saya. Saya mesti dapatkan segera. Saya nak tambah koleksi taman herba belakang rumah. Tak sabar nak tengok bunganya yang berwarna biru terang tu. Nanti nak jadikan bunganya sebagai bahan dalam infused water. Mesti sedap, kan?

Friday, 3 April 2015

Kecil tapi menawan - Biru si bunga Borage.

Walaupun tak ramai yang pernah tengok pokok bunga Borage, ia sebenarnya sudah ada di beberapa nurseri tempatan.Bunga ni juga dikenali dengan nama bunga bintang, kerana bunganya berkembang seperti bentuk bintang.

Bunga Borage berwarna biru terang dan sangat lebat jika diberi cukup baja. Gugusan bunga bintang mampu menimbulkan efek yang dramatik, kontra dengan warna daunnya.Sekiranya ditanam dengan skala yang besar, ia mampu bertindak sebagai tumbuhan tutup bumi. Ia sesuai ditanam di Malaysia, kerana ia perlukan suhu yang panas dan matahari yang terang. Bunga pokok Borage banyak manisan dengan nektar seperti madu. Ia akan menarik minat rama-rama, lebah dan kelulut datang ke taman kita.

Satu info yang menarik tentang pokok bunga bintang ialah, daun dan bunganya boleh dimakan. Selain menjadi hiasan taman, pokok bunga bintang juga baik untuk kesihatan.

Anda tak perlu masak untuk menikmatinya. Lebih elok jika dihidangkan segar. Aromanya yang seakan-akan timun dan bawang merah mampu menambahkan perisa pada salad anda. Daunnya boleh diracik halus dan ditabur di atas sup atau digaul dengan nasi.

Jika nak salad nampak menarik, kelopak bunganya yang terang juga boleh ditambah ke dalam salad anda.

Kuntuman bunga biru ini juga boleh dijadikan hiasan di atas kek atau kek cawan - satu cara untuk menyuntik warna elegan dengan bahan yang sihat.

Tumbuhan Borage amat baik untuk kesihatan. Ia dah lama digunakan oleh orang Eropah untuk menghilangkan kemurungan menguatkan jantung. Selain itu, jika daunnya dihancurkan dan dicampurkan ke dalam teh, dikatakan dapat melegakan batuk dan asthma (lelah).

Seperti bungan Evening Primrose, biji bunga Borage juga kaya dengan GLA (gamma linelnik acid). Selalunya kita nampak di farmasi, kapsul-kapsul Evening Primrose Oil (EPO) dijual bagi memberikan bekalan GLA kepada pengguna. Akan tetapi, kajian mendapati biji bunga borage mengandungi peratusan GLA yang lebih tinggi. Oleh sebab itu, banyak syarikat supplemen sudah mula menggunakan minyak biji bunga Borage untuk menggantikan Evening Primrose.

Bunga borage dikatakan boleh memperbaiki taraf kesihatan kita:
  • Membantu mengawal dan mengatur kitaran haid.
  • Meningkatkan kesuburan.
  • Melegakan PMS (Pre-Menstuatation Syndrome).
  • Membantu dalam menangani menopause.
  • Menguatkan kuku & rambut.
  • Menjadikan kulit lebih sihat & berseri-seri.
  • Membantu menangani ekzema.
  • Melegakan symptom akibat Rhematoid Artritis.
  • Mengandungi vitamin E untuk menguatkan dinding arteri.
  • Menguatkn immuniti badan.
  • Mempelahankn proses penuaan.
  • Mengurangkn “blood clot” yang menyebabkan serangan jantung.
  • Mengawal kencing manis
  • Mengawal kolesterol.
  • Bagus untuk saraf.

Tuesday, 23 December 2014

Projek Flower Box - Tanam bunga dalam kotak, gantung ke dinding.

Bila baca majalah berkebun, mesti ada idea flower box macam di bawah ni:


 



Petang semalam, saya luangkan masa untuk buat flower box ni. Belakang rumah saya ni banyak kayu-kayu terpakai yang masih elok. Sayang kalau tak digunakan.







Sempat buat 2 kotak saja. Flower box ni bagus sebab kalau tak mahu tanam terus ke dalam kotak pun tak mengapa. Anda boleh susun saja pasu-pasu di dalamnya. Dengan cara ini, anda boleh sentiasa tukar jenis bunga mengikut kegemaran anda.

Saya masih berkira-kira samada nak cat kotak ni atau tak. Sejujurnya saya suka rupanya yang rustik. Mungkin saya hanya akan licinkan dengan kertas pasir dan sapu minyak kayu untuk perlindungan. Saya tak mahu kotak-kotak ni nampak terlalu berkilat. Hilang kecantikan semulajadi kayu tu nanti.

Tak sabar nak siapkan dan gantung ke dinding. nanti saya update perkembangan flower box  ni dalam entri yang lain.

Monday, 22 December 2014

Petola dah mula berbuah


Petola ni saya alihkan ke batas pada awal November lepas. Sekarang ni dia dah mula belajar berbuah. Pagi tadi saya menyiram sayur-sayuran seperti biasa. Sedang saya belek-belek daun petola untuk check serangga perosak, saya terjumpa putik petola tersembunyi di sebalik daun. Main sorok-sorok pula.

Kali terakhir saya tanam petola ialah setahun yang lalu. lama tu! Sejujurnya saya merajuk sekejap menanam petola ni sebab setiap kali saya tanam, memang susah nak berbuah. Daunnya sebesar tapak tangan, hijau dan subur, tapi daripada 10 pokok petola yang saya tanam, satu buah pun tak ada.
Kali ni syukur sangat sebab percubaan kali ni mula menunjukkan tanda-tanda akan ada hasilnya. Pokok petola dah mula berbuah! 

Dua minggu lepas, saya sembur pokok petola saya ni dengan baja cecair organik yang saya buat sendiri. Bahan-bahannya hanyalah pisang dan gula nipah. Mudah untuk disediakan. Nanti saya akan kongsikan cara membuatnya di entri yang lain.


Sunday, 21 December 2014

5 khasiat daun betik yang anda mungkin tak tahu.

Buah betik memang sedap. Saya boleh habiskan sebiji betik sambil tonton televisyen. Bukan saja sedap, ia kaya dengan vitamin A dan C.
Tapi, bagaimana pula dengan daunnya?
Generasi terdahulu makan saja pucuk betik dibuat ulam. Saya pernah mencuba pucuk betik celur, rasanya mak datuk, pahit sangat. Berkerut muka saya menahannya.
Sepahit-pahit pucuk betik, khasiatnya banyak. Ia telah digunakan secara tradisional untuk mengubat denggi dan malaria.

Di sini saya catatkan 5 khasiat daun betik yang anda mungkin tak tahu:

1. Penawar tradisional demam denggi.
Bacaan platlet darah pesakit denggi kurang daripada orang yang sihat. Ini akan membahayakan tubuh kerana platlet amat penting untuk pembekuan darah. Keberkesanan daun betik dalam membantu merawat denggi tak dapat disangkal. Penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Soobitha Subenthran bersama Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang telah mendapati jus daun betik dapat meningkatkan bilangan sel platlet darah dalam tubuh seorang pesakit denggi.

2. Meredakan masalah pencernaan.
Daun betik mempunyai khasiat antibakteria. Ia boleh mengawal serangan bakteria yang menyebabkan masalah sakit perut. Daun betik mengandungi papain, enzin protease dan enzim amilase yang membantu mencerna protein, karbohidrat dan memperbaiki saluran pencernaan.

3. Meningkatkan sistem imun.
Daun betik kaya antioksida yang meningkatkan sistem kekebalan dan mampu mengurangkan risiko sakit jantung, strok dan kanser.

4.  Ubat jerawat
Daun betik tua yang kering boleh dijadikan skrub dan membantu menghilangkan jerawat pada wajah. Kisar daun bersama air dan sapu pada kulit yang berjerawat. Biarkan kering. Cuci hingga bersih.

5. Mengurangkan senggugut 
Jus betik boleh membantu mengurangkan simptom senggugut. Ambil 6-7 helai daun betik, rebus bersama 1 liter air selama 15 minit. Sejukkan dan tambah bersama apa apa jus buah-buahan yang anda suka.

Sekarang ni saya tengah merenung pokok betik belakang rumah, sambil berfikir samada nak cuba buat jus daun betik atau tak.
Hmmm... nampaknya saya ni penakut pahit. Mungkin lain kali lah.

(Sumber info daun betik daripada majalah i-SIHAT)