Tuesday 23 December 2014

Projek Flower Box - Tanam bunga dalam kotak, gantung ke dinding.

Bila baca majalah berkebun, mesti ada idea flower box macam di bawah ni:


 



Petang semalam, saya luangkan masa untuk buat flower box ni. Belakang rumah saya ni banyak kayu-kayu terpakai yang masih elok. Sayang kalau tak digunakan.







Sempat buat 2 kotak saja. Flower box ni bagus sebab kalau tak mahu tanam terus ke dalam kotak pun tak mengapa. Anda boleh susun saja pasu-pasu di dalamnya. Dengan cara ini, anda boleh sentiasa tukar jenis bunga mengikut kegemaran anda.

Saya masih berkira-kira samada nak cat kotak ni atau tak. Sejujurnya saya suka rupanya yang rustik. Mungkin saya hanya akan licinkan dengan kertas pasir dan sapu minyak kayu untuk perlindungan. Saya tak mahu kotak-kotak ni nampak terlalu berkilat. Hilang kecantikan semulajadi kayu tu nanti.

Tak sabar nak siapkan dan gantung ke dinding. nanti saya update perkembangan flower box  ni dalam entri yang lain.

Monday 22 December 2014

Petola dah mula berbuah


Petola ni saya alihkan ke batas pada awal November lepas. Sekarang ni dia dah mula belajar berbuah. Pagi tadi saya menyiram sayur-sayuran seperti biasa. Sedang saya belek-belek daun petola untuk check serangga perosak, saya terjumpa putik petola tersembunyi di sebalik daun. Main sorok-sorok pula.

Kali terakhir saya tanam petola ialah setahun yang lalu. lama tu! Sejujurnya saya merajuk sekejap menanam petola ni sebab setiap kali saya tanam, memang susah nak berbuah. Daunnya sebesar tapak tangan, hijau dan subur, tapi daripada 10 pokok petola yang saya tanam, satu buah pun tak ada.
Kali ni syukur sangat sebab percubaan kali ni mula menunjukkan tanda-tanda akan ada hasilnya. Pokok petola dah mula berbuah! 

Dua minggu lepas, saya sembur pokok petola saya ni dengan baja cecair organik yang saya buat sendiri. Bahan-bahannya hanyalah pisang dan gula nipah. Mudah untuk disediakan. Nanti saya akan kongsikan cara membuatnya di entri yang lain.


Sunday 21 December 2014

5 khasiat daun betik yang anda mungkin tak tahu.

Buah betik memang sedap. Saya boleh habiskan sebiji betik sambil tonton televisyen. Bukan saja sedap, ia kaya dengan vitamin A dan C.
Tapi, bagaimana pula dengan daunnya?
Generasi terdahulu makan saja pucuk betik dibuat ulam. Saya pernah mencuba pucuk betik celur, rasanya mak datuk, pahit sangat. Berkerut muka saya menahannya.
Sepahit-pahit pucuk betik, khasiatnya banyak. Ia telah digunakan secara tradisional untuk mengubat denggi dan malaria.

Di sini saya catatkan 5 khasiat daun betik yang anda mungkin tak tahu:

1. Penawar tradisional demam denggi.
Bacaan platlet darah pesakit denggi kurang daripada orang yang sihat. Ini akan membahayakan tubuh kerana platlet amat penting untuk pembekuan darah. Keberkesanan daun betik dalam membantu merawat denggi tak dapat disangkal. Penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Soobitha Subenthran bersama Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang telah mendapati jus daun betik dapat meningkatkan bilangan sel platlet darah dalam tubuh seorang pesakit denggi.

2. Meredakan masalah pencernaan.
Daun betik mempunyai khasiat antibakteria. Ia boleh mengawal serangan bakteria yang menyebabkan masalah sakit perut. Daun betik mengandungi papain, enzin protease dan enzim amilase yang membantu mencerna protein, karbohidrat dan memperbaiki saluran pencernaan.

3. Meningkatkan sistem imun.
Daun betik kaya antioksida yang meningkatkan sistem kekebalan dan mampu mengurangkan risiko sakit jantung, strok dan kanser.

4.  Ubat jerawat
Daun betik tua yang kering boleh dijadikan skrub dan membantu menghilangkan jerawat pada wajah. Kisar daun bersama air dan sapu pada kulit yang berjerawat. Biarkan kering. Cuci hingga bersih.

5. Mengurangkan senggugut 
Jus betik boleh membantu mengurangkan simptom senggugut. Ambil 6-7 helai daun betik, rebus bersama 1 liter air selama 15 minit. Sejukkan dan tambah bersama apa apa jus buah-buahan yang anda suka.

Sekarang ni saya tengah merenung pokok betik belakang rumah, sambil berfikir samada nak cuba buat jus daun betik atau tak.
Hmmm... nampaknya saya ni penakut pahit. Mungkin lain kali lah.

(Sumber info daun betik daripada majalah i-SIHAT)

5 sebab kenapa saya suka tanam sayur sendiri


Sekarang ni, menanam sendiri sayur-sayuran dan jadi trend. Sana-sini ramai yang berkongsi pengalaman dan kegembiraan sepanjang usaha menanam sayur – daripada menyemai benih, membuat batas, hinggalah menimbang sendiri hasil tuaian di dapur.
Berkebun memang kegemaran saya sejak berumur 8 tahun. Waktu itu, saya hanya pandai menanam daun setawar dan membantu ayah menjaga kacang hijau di tanam belakang rumah.


Ada 5 sebab kenapa saya suka menanam sayur-sayuran sendiri:


1. Harga lebih rendah.
Tak dapat dinafikan menanam sendiri sayur amat menjimatkan. Sebungkus kecil benih kalian berharga tak sampai RM3, tapi boleh tuai berkilo-kilo. Kalau tanam kangkung, hanya perlu cantas sebanyak mana kangkung yang hendak dimakan. Tak perlu dicabut, nanti akan tumbuh semula selama mana kita menjaganya. Kadang-kadang sampai 5-6 cantasan. Jimat kan?

2. Bebas bahan kimia berbahaya.
Siapa boleh pastikan sayur yang kita beli bebas daripada racun, hormon sintetik dan baja kimia berbahaya? Dengan menanam sayur sendiri, kita boleh kawal apa yang kita berikan kepada tanaman. Sudah tentu sayur yang kita masak dan makan bebas toksin.


3. Kesegaran dan khasiat terjamin.
Tahukah anda, selepas sayuran dan buah dipetik, kandungan gula dan nutrisi di dalamnya akan menurun? Semakin lama masa, semakin kurang manis dan kurang berkhasiat sayur dan buah tersebut.

Bayangkan memetik sayuran di belakang rumah dan terus dimasak. Sudah tentu rasanya lebih segar dan enak berbanding sayuran yang dibeli. Entah berapa lama terbiar selepas dipetik.

4. Seronok!
Bagi saya, berkebun ialah aktiviti mengisi masa lapang yang sangat menyeronokkan. Kawan-kawan kaki kebun saja yang faham, betapa sanggupnya saya turun berkebun walaupun sudah penat seharian, atau tak cukup tidur. Berkebun meredakan stress dan buat saya tenang. Saya amat suka berkebun. Meluangkan masa 4 jam sehari di kebun, rasanya tak cukup!


5. Senaman tanpa sedar.
Melayan sayuran dan bungaan di kebun dan taman memang seronok sehinggakan kita tak sedar bahawa kita sebenarnya sedang melakukan senaman. Aktiviti berkebun memerlukan kita menggunakan kesemua otot – kaki, punggung, tangan, bahu, leher, belakang badan dan abdomen.

Mencangkul, contohnya, memerlukan saya untuk menggunakan otot abdomen dan tangan. Rasa seperti baru balik daripada senaman di gym! Terasa tekanan di otot akibat kerja mencangkul.
Selain menguatkan otot badan, berkebun juga membakar banyak kalori.



Menanam sayuran sendiri bukan semata-mata untuk sayurnya, tapi faedahnya merentas jauh daripada kesihatan diri hinggalah ketenangan minda. Cuba ceburkan diri dengan aktiviti berkebun, siapa tahu anda akan jatuh cinta bermain dengan tanah?