Saturday, 17 September 2016

Menanam Dahlia daripada Ubi (Tuber)

Dahlia "Mystery Day"
Bunga dahlia memang menawan hati. Sesiapa saja confirm akan tertawan kalau tengok kelopak-kelopak yang berlapis tersusun dan warna yang terang benderang. Saya pernah menanam dahlia sewaktu sekolah menengah. Dahlia tersebut mak beli daripada nursery berdekatan rumah. Amat mudah penjagaannya dan boleh dedahkan pada matahari lembut. Senang berbunga selepas diberi baja penggalak bunga.

Tapi pada suatu hari, dahlia saya layu dan seterusnya kering. Akibat sedih dan frust, kami buang sisa-sisa yang tinggal. Waktu tu saya tak tahu penjagaan dahlia, bahawa dahlia ni kadang-kadang akan mengering dan ada ada ubi dan boleh disimpan dan tanam semula. Bila dah membesar, dan banyak membaca, barulah saya tahu yang dahlia ni sebenarnya ada ubi, macam kentang dan keledek. Ianya dipanggil tuber dan boleh disimpan ketika dahlia ni berehat (dorman).

Tuber dahlia nampak macam keledek
Hati teringin nak menanam dahlia semula selepas tengok website Fyoria. (Tabiat saya sejak mula kenal internat, suka belek-belek website jualan tumbuhan dalam dan luar negara. Lepas tu mengeluh duit tak cukup. Atau mengeluh sebab overspent  beli pokok-pokok bunga. Tabiat saya ialah impulse buying kalau tak betul betul kawal nafsu). Kalau anda ke website Fyoria, anda akan faham kenapa saya amat tertarik nak menanam dahlia.

Setiap orang ada cara masing-masing. Ini adalah cara yang saya fikir sesuai dengan saya. 


Dahlia perlukan kawasan yang banyak cahaya matahari, sukakan tanah yang kaya nutrien dan lembab (tetapi bukan terlalu basah!). Basahkan tanah sebelum tanam tuber. Jangan siram selepas tanam ya. Untuk elakkan tuber dahlia terendam dan busuk, pilih tanah yang aliran airnya baik dan cepat kering. Cepat kering di sini maksudnya kalau anda siram pada waktu pagi, waktu petang tanah dah tak basah dan hampir kering. Esoknya boleh siram semula hanya jika perlu. Tak perlu siram kalau tanah dah basah. Personally, saya lebih rasa selamat kalau tanam dahlia dalam pasu sebab kita boleh pindahkan pasu ni ke mana-mana, terutamanya kalau musim hujan atau tanah terlalu basah. Dahlia tak suka hujan lebat sebab tuber boleh jadi buruk. Kalau anda rasa laman rumah anda sesuai, boleh cuba tanam terus ke tanah. Cuma saya takut apa akan jadi pada musim hujan yang non stop daripada pagi sampai ke petang.

Dari segi pembajaan, saya lebih selesa guna baja semburan untuk pokok-pokok bunga yang special sebab saya takut akan banyak kerja kalau baja ke tanah. Lagipun, dengan baja semburan, nutrien tu akan terus diterima oleh daun tumbuhan. ianya lebih cepat dan tak banyak kerja. Dapat kurangkan kesukaran nak tukar tanah kalau tersilap dos baja. Baja pilihan saya sekarang ialah Bactova. Ianya 100% organik dan ada banyak pilihan baja mengikut jenis tumbuhan yang kita tanam. Boleh rujuk gambar di bahagian kanan blog ni ya.

Dahlia kalau nampak gemuk dan berkilat daunnya, maknanya dia cukup makan. Tak lama lepas tu, akan nampak kudup-kudup kecil menandakan ialah akan berbunga! Memang seronok kalau dahlia-dahlia pilihan kita berbunga. Rasa macam penat lelah kita semuanya hilang dan terbalas. Like I always say, gardening is very very very rewarding.

Kalau anda berminat nak tanam dahlia, anda boleh lawat website Fyoria. Pemiliknya berasal daripada Malaysia dan jangan risau, anda boleh berusrusan dengannya dalam Bahasa melayu. Kalau nak direct link klik dahlia kat sini: Fyoria dahlias. 
Untuk Facebook Fyoria, klik sini: Facebook Fyoria
Banyak dah out of stock buat masa ni dan saya rasa sebab mereka dah nak masuk ke musim sejuk. Tapi anda tak perlu risau sebab Fyoria ada ejen jualan (rakan di Malaysia). Klik link Facebook ni: Fyoria Dahlia Malaysia.

Antara pilihan dahlia yang menarik minat saya! Selamat menanam dahlia!

Star Elite

Mystery Day

Bora Bora

Seattle



Thursday, 18 February 2016

Orange Tomatillo dah bercambah

Apa kebendanya "tomatillo" ni? Entahlah. Saya tak pernah makan.
Bila saya tengok senarai biji benih yang dijual oleh SEEDS GALORE di Facebook, saya ternampak ada "Orange Tomatillo" dalam senarai benih untuk dijual. 

from Google
Tengok rupa sangat menarik tapi tak tahulah rasanya macam mana. Teringin nak merasa, jadi saya pun belilah.
Biji orange tomatillo lebih kecil daripada biji tomato. Peratusan percambahan agak rendah, 3-4 biji saja yang bercambah. Tak tahu mengapa. Mungkin cara saya menyemai tak berapa efektif. Jadilah... daripada tak bercambah langsung.

Benih agak kurus memanjang. Mungkin kerana saya letak di tempat terlalu teduh. Selepas ni nak biar mereka biasakan diri dengan cahaya matahari pagi.



Tunggu mereka besar sikit baru pindah dalam pasu yang lebih besar.

Wednesday, 17 February 2016

Siapa sangka biji epal boleh bercambah dalam peti sejuk?

Semuanya bermula selepas saya baca artikel online tentang cara-cara untuk buat biji epal bercambah. Tak sangka pula betul betul keluar akar!

Caranya senang sahaja. Saya pilih biji-biji daripada epal yang saya beli daripada bahagian buah-buahan di pusat beli belah. Kemudian saya letak atas tisu lembab, di dalam bekas lutsinar bertutup.  Mesti ada tutup supaya biji tak kering. Saya letak dalam peti sejuk di bahagian simpanan telur. Setiap hari saya periksa seandainya ada perubahan atau kulat. Kalau tisu lembab tu berkulat, saya ganti tisu baru.
Selepas 3 minggu, biji-biji epal mula merekah. Selepas 4 minggu akar mula keluar. Gambar-gambar yang saya sertakan ni biji-biji epal dah berumur dekat 2 bulan.


Apa nak buat selepas ni? Lama juga masa yang saya ambil untuk bertanya kawan-kawan yang pernah buat benda yang sama. Rata-rata mengatakan selepas ni boleh pindahkan dalam pasu bersama media tanah. Tak boleh terus kenakan panas. Mesti perlahan-lahan supaya tak terkejut. Ye lah, baru saja keluar daripada peti sejuk, takkan nak terus letak tempat panas.

Ada rakan di Malaysia mengatakan ada beberapa gardeners di Malaysia ada menanam epal daripada biji dan berbuah! Akan tetapi buahnya lebih kecil daripada epal yang dijual secara komersil. Tak apalah, yang penting boleh berbuah. Ini yang membuatkan saya semakin bersemangat. 

Saya rancang nak alihkan anak-anak benih epal ni ke pasu petang esok.

Tuesday, 16 February 2016

Angan-angan nak buat kebun belakang rumah

Sejak saya pindah ke bandar, ruang untuk berkebun adalah terhad. Tak ada tanah yang lapang untuk menanam. Semuanya konkrit.

Tapi, kalau dan suka berkebun, apa saja cara akan kita cari asalkan dapat berkebun. Memandangkan tak ada ruang nak mencangkul, terpaksalah saya guna konsep container gardening. Kalau kita search tentang container gardening, memang banyak gambar-gambar yang jadi sumber inspirasi macam kat bawah ni:


Dua gmbar di atas bukan gambar saya. Saya Google kat internet je. semua dalam pasu. Nampak mudah tapi cantik kan? Selepas saya tengok gambar-gambar tu semua, saya rasa tak sabar-sabar nak tanam sayur dan bunga dalam pasu. 

Ok, gambar tadi semua cantik. Bila saya snap gambar kebun saya, gambar tu adalah seperti ini:

Gambar container garden yang tak akan jadi sumber inspirasi hahahaha.
Hahaha. Langsung tak ada nilai estetika. Tak cantik langsung! Saya pujuk diri, mungkin selepas beberapa bulan, pokok dah besar, semuanya akan nampak lebih merimbun. 

Nak laksanakan container gardening  tidaklah semudah yang saya sangka. Saya kena beli pasu dan tanah. Ini bermakna saya kena keluarkan wang yang banyak untuk beli semua tu. Ada yang mencadangkan untuk guna bekas terpakai tapi saya tak ada langsung bekas terpakai yang besar.

Kalau anda perhatikan gambar kebun saya yang tak senonoh tu, anda akan perasan ada tangki air warna hitam. Demi nak berkebun, saya kutip tangki tu daripada belakang rumah orang. Apa saja demi berkebun! Berapa bungkus tanah yang saya guna untuk penuhkan tangki tu? Sangat banyak. nantilah saya cerita kat entri lain.

Monday, 15 February 2016

Bagaimana saya mula menanam bunga raya menggunakan biji.

Tahukah anda kita boleh tanam bunga raya daripada biji? Agak ganjil bukan? Selama ini kalau kita nak semai bunga raya, biasanya kita akan guna keratan batang. 

Biji-biji hibiscus rosa sinensis yang sedang bercambah
Sebelum ini saya pun tak pernah terfikir untuk menanam bunga raya (hibiscus rosa sinensis) daripda biji. Sehinggalah saya menyertai group Facebook "International Hibiscus Society". Saya sudah lama mengumpul bunga raya, sejak dua tahun lepas. Akan tetapi bunga raya yang saya miliki hanyalah kultivar yang biasa didapati di nursery tempatan. Kegilaan mengumpul bunga raya menyebabkan saya sanggup melawat nursery setiap negeri dan paling kronik, saya akan membawa gunting pokok ke mana saja saya pergi. Saya pastikan ada gunting poko  di dalam kereta. Untuk apa? Supaya senang saya nak minta keratan sekiranya terjumpa bunga raya yang tak pernah saya miliki.

Antara koleksi pada awal kegiatan mengumpul bunga raya.
Selepas suatu ketika, saya stop mengumpul bunga raya sebab dah tak ada kultivar yang baru di nursery. Lagipun, orang sudah mula sibuk dengan trend ros, petunia, portulaca dan sebagainya.

Apabila seorang rakan daripada Puerto Rico menjemput saya untuk menyertai group "International Hibiscus Society" di Facebook, kemaruk untuk saya kumpul bunga raya marak semula. Kultivar-kultivar bunga raya di luar negara semuanya luar biasa cantiknya. Satu kuntum ada lebih daripada 2 warna, malah ada yang bertompok dan berbelang! Tapi kegeraman saya meluap-luap sebab kultivar-kultivar yang ada di Malaysia sangat terhad! Saya pernah terfikir nak beli daripada luar negara tapi mereka ada minimum order sehingga mencecah RM2K! Saya jadi putus asa.

Saya suarakan kesedihan pada beberapa rakan bunga raya daripada dalam dan luar negara dan mereka beri berita gembira. Ramai rakan mencadangkan agar saya beli biji bunga raya. Lebih murah dan pos lebih murah. Wah! Saya macam tak percaya pula bunga raya boleh ditanam menggunakan biji. Dek gembira, saya beli beberapa biji daripada luar negara. Waktu tu sebiji bernilai USD3 (lebih kurang RM9 sebiji). Ada juga beberapa biji benih diberi sebagai hadiah oleh rakan berkebun, Angeline (benih dibeli daripada India). Oleh kerana tak sabar, saya terus tanam biji tanpa melakukan bacaan dan research terlebih dahulu. Akhirnya semua biji benih mati! Sedihnya masa tu... (Kita simpan kisah kegagalan tu untuk entri lain, hehehe)

Nak dipendekkan cerita, saya akhirnya berjaya juga buat biji bunga raya bercambah. Prosesnya agak advance  dan ada langkah-langkah tertentu. Daripada penyediaan tanah dan biji. Peringkat dua hingga tiga bulan pertama, anak-anak hibiscus rosa sinenses memerlukan perhatian yang sangat tinggi, terutamanya tahap air, kenapasan, cahaya dan serangan serangga perosak. Bila dah besar lebih sejengkal, anak-anak bunga raya lebih kuat ketahanannya.

Jika anda menanam bunga raya daripada biji, anak pokok biasanya memerlukan lebih kurang setahun untuk berbunga. Jadi, boleh saya katakan hobi ini hanya untuk orang yang sabar.

Setiap penantian yang setia ada manisnya. Selepas lebih kurang setahun, kebanyakan anak-anak bunga raya saya dah berbunga! Dan warna-warna mereka sangat unik. Aduh, senyum lebar saya waktu tu. Anak-anak hibiscus rosa sinensis daripada biji akan menghasilkan warna yang unik dan lain daripada mak bapak mereka. Unik di sini bermaksud tiada bunga raya lain yang saya dengannya. Dan hanya saya yang ada bunga raya tersebut. Kita akan dikenali sebagai "grower" dan ada hak untuk memberi nama untuk bunga-bunga tersebut sewaktu mendaftar kultivar tersebut di database "International Hibiscus Society". Di sini saya kongsi beberapa hibiscus yang telah saya daftar.

"Mutiara Zaini", sempena nama ibu saya Zaini md Ali.

Naga Tasik Cini

"Seri Songket" Bunga raya yang paling awal berkembang.


"Sutera Zaini", sempena nama ibu saya, Zaini Md Ali. Kultivar ni sangat diminati ramai!
Saya ada lebih daripada 15 hibiscus daripada biji yang sudah berbunga. Ada banyak lagi anak pokok yang menanti untuk berkembang. Kalau nak cerita tentang menanam bunga raya daripada biji dalam entri ni memang tak cukup. Kita jumpa lagi dalam entri lain.

Selamat berkebun!

Saturday, 13 February 2016

Gila Biji

Wah wah wah... kalau baca tajuk tu berdebar-debar dada sebab lain macam je bunyinya. Hahaha. Yang sebenarnya saya nak kongsi kegilaan saya menyemai biji benih dalam beberapa minggu ni. 

Kisah bermula apabila saya terjumpa bungkusan biji benih yang saya beli daripada www.tanamsendiri.com pada lewat 2014. Disebabkan waktu tu saya sedang dalam fasa berpindah rumah, bungkusan benih tu hilang begitu saja. Saya tersalah letak dan terus lupa. 
Minggu lepas saya kemas rumah mak di Johor. Saya terjumpa bungkusan biji tu! What a surprise!
Biji benih yang saya beli daripada www.tanamsendiri.com
Banyak juga yang saya beli waktu tu. Tak pasti lah samada masih boleh bercambah atau tak. Saya dah cuba semai beberapa biji benih petang tadi. Kita tunggu dan lihat saja lah.

Saya sedang dalam usaha menanam sayur sendiri di belakang rumah. Rumah yang saya diami ni rumah teres, kawasan depan rumah dah renovate menjadi tempat letak kereta berbumbung. Habis semua tanah arwah ayah simenkan. Nak tak nak terpaksa tanam belakang rumah, di dalam pasu-pasu.

Saya berminat nak menanam sayuran dan buah-buahan unik. Saya beli beberapa biji daripada rakan Facebook, Mieyza. Antaranya kohlrabi dan brussel sprout. Benih bunga pun saya beli jugak. Tak sah kalau orang yang minat berkebun tak beli biji bunga.

Biji benih yang saya beli daripada Mieyza.

Kalau anda beminat nak beli biji benih daripada Mieyza, bolehlah mencari Facebook group "SEEDS GALORE". Ia sebuah group tertutup dan anda perlu meminta Mieyza invite anda. Sebungkus biji benih hanya RM2.
 
Selain biji benih, SEEDS GALORE juga menjual bebawang gladiolus. Dah terbukti oleh beberapa pembeli yang menanam gladiolus di Malaysia dan berbunga dengan meriahnya.

Dek kerana tamak, saya beli juga biji benih daripada nursery tempatan. Hahaha. Saya sambar 3 benih  - pak choy, terung panjang dan tomato. Pak choy tu saya dah semai 2 hari lepas. Sudah bercambah pun. Nanti saya update tentang mereka.

Jumlah biji benih dalam paket boleh tahan banyak.